Friday, January 29, 2010

Memperkasa Ekonomi Ummah siri 1



Kelemahan negara Islam dari segi ekonomi dan tentera, terutamannya selepas Perang
Dunia Kedua, memberi ruang kepada negara Barat, terutamanya Amerika Syarikat (AS)
dan Kesatuan Eropah (EU) untuk menentukan hala tuju ekonomi politik dunia.
Merekalah arkitek kepada penubuhan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Dana
Kewangan Antarabangsa (IMF) Bank Dunia dan Pertubuhan Perdagangan Dunia
(WTO). Menerusi institusi antarabangsa itu, AS dan EU meluaskan pengaruh mereka
menerusi bantuan keselamatan dan kewangan kepada negara yang sedang membangun,
termasuk negara Islam.

Konflik Israel-Palestin dan serangan regim Zionis ke atas
Genting Gaza baru-baru ini mencerminkan kelemahan kerjasama geopolitik dalam
kalangan negara Islam. Liga Arab (22 negara ahli) dan Pertubuhan Persidangan Islam
(OIC, 57 negara ahli) tidak dapat mempengaruhi, apalagi menguasai konflik Israel-
Palestin, sebaliknya bergantung kepada PBB untuk menyelesaikan konflik itu.
Bagaimanapun, sebarang resolusi mengenai konflik Israel-Palestin yang ditentukan oleh
PBB akan memihak kepada Israel dan disertai dengan sokongan padu daripada AS.
Malah, pada satu ekstrim, AS berperanan sebagai polis dunia dan pendamai
antarabangsa dalam sebarang konflik dunia jika ia menggugat kepentingannya.

Bagaimanapun, krisis kewangan yang melibatkan berbilion dollar di AS dan euro di EU
menunjukkan yang ekonomi negara Barat itu bukan tidak boleh digugat. Negara Islam
perlu memanfaatkan kelemahan sistem pasaran bebas yang diamalkan oleh negara Barat dengan mewujudkan wilayah perdagangan bebas sejagat dalam kalangan negara Islam
(OIC-FTA).

Misinya ialah menguasai hala tuju ekonomi politik dunia.
Kertas kerja ini dibahagikan kepada 4 bahagian. Bahagian 1 membincang kedudukan
dan kekuatan ekonomi OIC dan negara Barat di peringkat dunia. Bahagian 2 menyentuh
kedudukan Malaysia dan entiti perniagaannya dalam pelaburan dan perdagangan
antarabangsa. Bahagian 3 menganalisa kepentingan pendekatan strategi lautan biru yang
boleh dipraktiskan oleh entiti bisnes dalam negara Islam bagi mengukuhkan kekuatan
ekonominya. Bahagian 4 ialah kesimpulan perbincangan dan gagasan untuk
memperkasakan ekonomi ummah dalam negara Islam.

source by: artikel
Nordin Kardi & Abdul Rahim Anuar2
Universiti Utara Malaysia